top of page

Sekapur Sirih YDP PIBG SMKPJ

"Para ibu bapa harus menyedari bahawa tanggungjawab anak mereka di sekolah bukan sahaja untuk cemerlang dalam akademik, tetapi juga membentuk karakter mereka menjadi modal insan yang terdidik, dan bersahsiah tinggi agar transformasi pendidikan dapat dilestarikan bagi memenuhi aspirasi negara. Maka inilah peranan penting yang kita (ibu bapa) perlu laksanakan."

Warga PIBG Yang Di Hormati, 
 

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh, dan Salam sejahtera.

 

Alhamdulillah, syukur ke hadrat Allah SWT kerana dengan kerahiman-Nya, saya berpeluang untuk melarik sejumlah kata dalam laman web PIBG SMK PJ bagi tahun 2017. Tahniah, dan syabas kepada Sidang Redaksi laman web ini di atas komitmen, kesungguhan dan iltizam dalam mengusahakan penerbitan wadah yang cukup bermakna ini.

 

Seperti yang kita sedia maklum, peranan Persatuan Ibu-Bapa dan Guru (PIBG) telah disenaraikan sebagai salah satu dalam sebelas (11) anjakan untuk transformasi pendidikan negara, dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025. Hal ini merupakan satu amanah yang dipertanggungjawabkan secara langsung kepada PIBG bagi memastikan setiap ibu bapa menjadi rakan yang aktif dalam proses pembelajaran anak-anak,  dan bukan sahaja melalui aktiviti yang lazim,  seperti hadir pada Hari Permuafakatan (penyerahan kad laporan), tetapi juga terlibat aktif dalam agenda PIBG.  

 

Untuk itu, peranan PIBG akan diperluaskan daripada tumpuan biasa,  yakni dalam usaha pengumpulan dana, sehingga kepada bekerjasama dengan pihak kepimpinan sekolah untuk meningkatkan keberhasilan para pelajar. Maklum balas positif pihak ibu bapa, serta penyertaan mereka dalam PIBG amat dialu-alukan bagi mengemukakan input tentang cara yang membolehkan sekolah menjadikan kurikulum kebangsaan lebih relevan dengan keperluan komuniti setempat. Malah, turut memberikan respons tentang kualiti pengajaran, dan pengalaman dalam pembelajaran anak-anak. Hal ini bermaksud bahawa ibu bapa juga berperanan sebagai guru, dan jurulatih sampingan untuk aktiviti sekolah.

 

Maka, bagi tahun 2017 ini, kami mengalu-alukan penyertaan menyeluruh ibu bapa pelajar untuk turut serta dalam memastikan usaha ini menjadi kenyataan. Para ibu bapa harus menyedari bahawa tanggungjawab anak mereka di sekolah bukan sahaja untuk cemerlang dalam akademik, tetapi juga membentuk karakter mereka menjadi modal insan yang terdidik, dan bersahsiah tinggi agar transformasi pendidikan dapat dilestarikan bagi memenuhi aspirasi negara. Maka inilah peranan penting yang kita (ibu bapa) perlu laksanakan.

 

Demi keberlangsungan karisma anak bangsa, sekali lagi saya menyeru para ibu bapa agar mahu melibatkan diri secara aktif dalam PIBG, demi kebaikan bersama anak-anak kita. Insya-Allah.



​

​Yang benar, 

 

 

 

Encik Awang Zaidel Bin Awang Jamil
​YDP PIBG SMK Petra Jaya, Kuching.

Tujuan PIBG

Tujuan PIBG;

 

a) untuk mengadakan sesuatu forum dan perkhidmatan bagi kebajikan, dan kemajuan pelajar dalam sekolah dalam meningkatkan imej sekolah;

 

b) untuk membantu dan menambah usaha sekolah dalam memenuhi kehendak, dan keperluan kebendaan pelajar dalam kegiatan mereka;

 

c) untuk membolehkan ibu bapa, dan guru dalam sekolah bertukar-tukar fikiran, dan maklumat mengenai pendidikan;

 

d) untuk memberi peluang kepada ibu bapa dan guru dalam sekolah berunding antara satu sama lain dengan cara memperbaiki taraf pendidikan anak-anak mereka pada amnya; dan

 

e) untuk membolehkan ibu bapa dan guru dalam sekolah untuk berusaha menambah kewangan sekolah, dan meningkatkan kemudahan fizikal bagi tujuan meningkatkan kemudahan pengajaran dan pembelajaran.

​

Prestasi Kami
Fungsi PIBG

Fungsi PIBG ialah untuk menjalankan aktiviti atau program bagi mencapai tujuan-tujuan berpersatuan, seperti:

 

a) membantu dalam memajukan perkembangan pelajar, dan menjaga kebajikan pelajar;

 

b) menambah sumber kewangan sekolah bagi menambah dan meningkatkan kemudahan di sekolah;

 

c) meningkatkan kemesraan dan menyediakan saluran komunikasi dan hubungan antara sekolah dengan masyarakat setempat;

 

d) meningkatkan kecerian premis sekolah supaya dapat mewujudkan suasana yang kondusif bagi menjayakan aktiviti dan program pendidikan.

bottom of page